ALAT-ALAT BERFIKIR DALAM MEMBUAT NOTA


ALAT-ALAT BERFIKIR DALAM MEMBUAT NOTA
Nur Azua Najiha binti Azuan 

   Alat berfikir merupakan satu alat dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang mampu membantu pelajar menggunakan minda mereka dengan betul dan lebih berkesan untuk membuat nota yang lengkap dan sistematik. Alat-alat berfikir ini perlu digunakan mengikut kesesuaian dalam membuat sesuatu nota. Antara alat-alat berfikir dalam membuat nota ialah pengurusan grafik, peta minda, pemetaan i-Think, teknik menyoal aras tinggi dan alat-alat CoRT 1.
Pengurusan grafik ialah satu cara dalam proses pembelajaran yang meningkatkan daya ingatan dan pemahaman pelajar dalam sesuatu isu. Pengurusan grafik ini merupakan satu proses untuk membuat kerangka atau medan untuk memindahkan maklumat dan idea dari minda keatas kertas untuk disusun secara sistematik. Sebagai seorang guru pada era ini, alat berfikir ini amat diperlukan untuk mengajar pelajar cara berfikir yang berkesan dan untuk menilai cara fikir para pelajar dalam mengeluarkan idea-idea penting bagi sesuatu tajuk. Terdapat 5 jenis pengurusan grafik, antaranya ialah pengurusan grafik membanding dan membeza,pengurusan grafik meramal kesan akibat, pengurusan grafik mengesahkan sumber maklumat, pengurusan grafik idea berpusat dan pengurusan grafik membuat kategori. Pengurusan grafik membanding dan membeza ini dapat digunakan dalam semua subjek dalam membanding dan membezakan dua atau lebih topik dan isu.Seterusnya, pengurusan grafik meramal kesan akibat juga sering digunakan dalam membuat ramalan dengan bijak berpandukan bukti-bukti sokongan yang kukuh dalam sesuatu peristiwa.Pengurusan grafik mengesahkan sumber maklumat pula ialah satu proses dalam mengesahkan sesuatu kajian atau penyelidikan sama ada betul atau tidak.Selain itu, pengurusan grafik idea berpusat pula menunjukkan hubungkait bahagian-bahagian tertentu seperti kesan dan sumbangan dalam sesuatu topik.Pengurusan grafik membuat kategori pula ialah untuk membuat analisis dan klafikasikan sesuatu perkara dalam kelas yang sama.
Selain itu, peta minda ialah satu lakaran atau rajah yang untuk meringkaskan sesuatu topik dengan mengeluarkan segala isi-isi penting dalam topik tersebut.Terdapat beberapa garis panduan untuk mengguna peta minda dalam pembelajaran,antaranya ialah menggunakan kata kunci dan simbol untuk meringkaskan nota. Selain itu, pelajar juga perlu menggunakan kata hubung dan gambar serta corak berwarna yang menunjukkan perkaitan antara satu sama lain.Penggunaan peta minda ini kekurangannya yang tersendiri. Disebabkan penggunaan peta minda ini terlalu ringkas dan menggunakan singkatan atau kata kunci, terdapat sedikit kesukaran kepada pelajar dalam mengingati kata kunci bagi sesuatu topik tertentu.Namun begitu, cara ini sering digunakan oleh pelajar kerana peta minda yang menarik dan jelas akan membantu pelajar memahami sesuatu topik dengan mudah.
Pada abad ke-21 ini,penggunaan pemetaan i-Think dalam proses pembelajaran dan pengajaran amatlah digalakkan oleh kerajaan.Hal ini dikatakan demikian kerana, i-Think bermaksud ‘innovative thinking’ yang membantu pelajar berfikir secara kreatif dan kritis. Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sektor ekonomi dan reka bentuk dan teknologi. Pentaksiran antarabangsa mendapati pencapaian Malaysia dalam subjek matematik dan sains kurang memuaskan.Oleh itu, program i-Think ini diperkenalkan dan diiktiraf oleh pendidikan dunia untuk membantu Malaysia mencapai matlamat negara untuk membentuk negara maju. Terdapat 8 bentuk peta pemikiran secara visual yang diperkenalkan oleh pendidikan Malaysia, antaranya ialah Peta Bulatan, Peta Buih, Peta Buih Berganda,Peta Pokok, Peta Dakap, Peta Alir, Peta Pelbagai Alir dan Peta Titi. Kesemua peta ini boleh digunakan untuk memudahkan proses pembelajaran didalam kelas.Oleh itu, semua guru perlulah peka akan rancangan pendidikan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.
Teknik menyoal aras tinggi juga merupakan satu alat berfikir yang perlu digunakan oleh para pelajar untuk membina idea dan pandangan tersendiri berkaitan sesuatu isu. Pelajar yang bertanya adalah seorang yang berfikir. Apabila seseorang sudah mula menyoal, ini bermakna bahawa dia sudah mula memahami dan menguasai kemahiran belajar.Para pelajar digalakkan untuk mengemukakan soalan aras tinggi supaya dapat mencungkil dan mengembangkan pengetahuan pelajar pengetahuan pelajar dalam isu yang dibincangkan.Terdapat tiga kaedah yang digunakan dalam teknik ini, antaranya ialah kaedah sokratik, soalan tertumpu dan bercapah dan lingkaran soalan.Kaedah sokratik ialah kaedah dimana guru menggunakan kaedah penyoalan dalam pembelajaran.Segala soalan demi soalan yang ditanya akan menimbulkan rasa ingin tahu dan membantu pelajar secara mendalam dam meluas.Soalan yang baik ialah soalan yang mengambil kira semua aspek dan kita perlu memahami peringkat-peringkat penyoalan agar kita dapat mengemukakan soalan pada aras tinggi.Penyoalan juga perlu menggunakan soalan bertumpu dan bercapah. Soalan bertumpu merupakan soalan aras rendah, jawapannya terhad terhadap sesuatu jawapan yang tepat, berbentuk tertutup dan amat sesuai digunakan untuk menguji daya ingatan. Soalan bercapah pula merupakan soalan aras tinggi dimana ianya sesuai untuk menguji penakulan, pemahaman dan penafsiran.Lingkaran soalan pula ialah jenis soalan yang diperkenalkan oleh William W. Wilan di Malaysia pada tahun 1994. Penyoalan jenis ini memberi tumpuan kepada tiga skop khusus iaitu perkara, individu dan luar individu.Kombinasi semua skop ini akan menjana lebih soalan yang akan meningkatkan kemahiran berfikir.
CoRT 1 pula merupakan satu alat berfikir yang sering digunakan oleh golongan pendidik. CoRT 1 ini mempunyai tujuh teknik asas dalam penggunaan CoRT 1  yang digunakan untuk membantu membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Komponen yang pertama dalam CoRT 1 ialah  PMI- Plus,Minus,Interesting (Baik, Buruk,Menarik). Sebelum membuat keputusan, kita perlu menggunakan alat ini untuk membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan sesuatu perkara.Komponen yang kedua pula ialah CAF-Consider All Factors. Contoh penggunaan CAF ialah seperti jika seorang guru memberi satu isu untuk dibincangkan oleh para pelajar, guru tersebut boleh meminta pelajar untuk menyenaraikan semua faktor yang terlibat,pertimbangkan semua faktor dan membuat keputusan yang terbaik selepas pertimbangan yang sewajarnya telah dibuat.Komponen ketiga ialah C&S- Consequence and Sequel (Kesan dan Akibat).Komponen keeempat ialah AGO- Aims, Goals, Objective (Tujuan,Matlamat dan Objektif). Komponen kelima ialah FIP- First Important Priority (Keutamaan). Komponen keenam ialah APC- Alternative, Possibilities, Choices (Alternatif, Kemungkinan, Pilihan). Komponen ketujuh ialah OPV- Other People’s View (Pandangan orang lain).

Comments